Malam Kesenian Pantai Timur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2008
Sunday, October 26, 2008
Berita Harian , 02 Februari 2008
Malam Kesenian Pantai Timur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2008 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM, baru-baru ini mengangkat fungsi dikir barat sebagai wadah hiburan tradisional yang masih dihargai generasi muda.
Walaupun pendikir UKM dan jemputan dari Kelantan berdikir dalam loghat Kelantan, khalayak tetap memberi sokongan dengan turut sama bertepuk tangan mengikut rentak dikir barat yang menjadi kebanggaan penduduk Cik Siti Wan Kembang itu.
Tirai Malam Kesenian Pantai Timur UKM dan Kumpulan Tunas Warisan Artisukma UKM dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) itu menampilkan 200 penuntut pelbagai jurusan mengiringi persembahan Kumpulan Tunas Warisan Artisukma UKM.
Penuntut Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan (FSSK) UKM, Azlisham Mohamad selaku Tok Juara pada persembahan Hidup Usia Remaja Harus Waspada mengingatkan lebih 300 khalayak agar berhati-hati dengan kerenah kehidupan.
Emapt tukang karut professional yang diundang khas Mohamad Zain Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Jen Enduro, Mamat Kereta Api (Mat Ngah), Tuan Kob Raja Saring (Tuan Yacob Tuan Ismail) dan Pok Ku Kamal (Syed Kamal Syed Alwi) masing-masing mengenakan baju Melayu lengkap bertengkolok turut menghangatkan malam kesenian terbabit.
Pok Ku Kamal dan Azlisham mengingatkan remaja agar tidak menghabiskan usia muda dengan membelakangkan pelajaran dan mengejar keseronokan sebaliknya perlu diisi perkara berfaedah yang mendatangkan manfaat untuk diri serta masyarakat sekeliling melalui dikir barat.
Jen Enduro pula menyampaikan Sukanya Duduk di Universiti bertema percintaan dalam rentak Karut Yankee hingga mencuit hati khalayak dengan lirik spontan yang mengisahkan perkenalan jejaka dan dara yang bermula dengan pandang memandang.
Kehebatan ubat-ubatan berasaskan jenis ikan diangkat Mamat Kereta Api dalam dikir barat Ikan Haruan dan beliau menyentuh mengenai keistimewaan keli, haruan dan puyu yang masing-masing mempunyai khasiat tersendiri kepada manusia.
Malam yang dipengerusikan Pegawai Pusat Kebudayaan UKM, Amar Baharuddin itu turut dimeriahkan dengan dikir Kasih Sejati oleh Tuan Kob, acara tarian daripada Artis Budaya UKM, persembahan rebana ubi dan kertuk serta dikir barat oleh kumpulan Sutera Pawana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
0 comments:
Post a Comment