Dikir Barat Tunas Warisan UKM, Meraikan Kepelbagaian dan Perpaduan
Sunday, October 26, 2008
Oleh : Hasrul Hashim PPAK
Mewarisi warisan kesenian negara seperti dikir barat,mak yong, zapin dan sebagainya merupakan satu perkara yang amat membanggakan terutamanya kepada generasi muda Malaysia. Bukan mudah untuk memastikan kelangsungan kebudayaan negara ini hidup
di zaman globalisasi serta dapat dikekalkan oleh generasi sedemikian.Usaha-usaha untuk memastikan wujudnya pengekalan budaya ini di kalangan mahasiswa, khasnya,
melalui program seperti Pertandingan Dikir Barat anjuran MAKUM seharusnya dilihat sebagai usaha dalam memupuk masyarakat yang berbudaya, berbudi
bahasa, berjiwa seni serta kreatif dan juga mampunyai jati diri kukuh.
Justeru, kemenangan kumpulan dikir Barat Tunas Warisan ARTISUKMA Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dalam Pertandingan Dikir Barat MAKUM
Intervarsiti baru-baru ini nyata membuktikan kewibawaan mahasiswa UKM dalam memartabatkan budaya kebangsaan. Dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)itu, UKM muncul juara dan Saudara Mohd Zahari
Sa’amah pelajar tahun 3 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, dianugerahkan Tukang Karut Terbaik dalam pertandingan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Disember 2007.
Untuk rekod, Kumpulan Dikir Barat Tunas Warisan merupakan antara kumpulan di bawah
ARTISUKMA yang bergerak aktif dan telah banyak mencapai kejayaan yang membanggakan seperti Johan Pertandingan Dikir Barat Antara IPT 2005 dan juga meraih Naib Johan serta Anugerah Busana Terbaik dalam Pertandingan Dikir Barat MAKUM 2006. Di samping
itu juga, kumpulan ini sering mendapat undangan persembahan baik di dalam mahupun di luar kampus.Sehubungan dengan itu, satu majlis jamuan penghargaan kepada kumpulan tersebut telah diadakan pada 4 Januari yang lalu di Kelab Golf Danau, UKM yang dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof.Dato’ Dr.Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Pada majlis tersebut hadirin dipersembahkan dengan persembahan
unik Kumpulan Dikir Barat Tunas Warisan. Kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang berbeza latar belakang budaya ini, nyata telah memberikan persembahan yang menghiburkan. Bukan itu sahaja,keunikan yang terdapat di dalam kumpulan ini adalah tidak semua ahlinya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, malah turut juga dianggotai oleh pelajar luar negara.Hal ini adalah bertepatan dengan agenda perpaduan UKM yang menggabungkan pelbagai masyarakat majmuk di dalam kampus untuk melahirkan persefahaman dan seterusnya mengeratkan perpaduan di kalangan mahasiswa.Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar & Alumni,Prof. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin dan juga Timbalan Pendaftar, Hal-ehwal Pelajar, En. Abdul Aziz Abu Bakar.
0 comments:
Post a Comment